Sunday 19 July 2009

Puisi - Mengapa Perlu Menyakiti


Puisi : Mengapa perlu menyakiti

Setelah mencipta nama demi nama
mengapa perlu menyakiti

sejak bergelar sesiapa
mengapa perlu menyakiti

sejak aku memilih jalan ini
jalan yang kau tidak ingini
mengapa perlu menyakiti

kerana perjalananku tidak pernah menyusahkanmu
keasyikanku tidak pernah menggugat ketinggianmu

aku tahu kau mulia di mata tuan
kesilapanmu dianggap kecil
berbanding keampuanmu yang besar
barangkali kau tidak sedar
kelekaanmu yang menyongsang

mengapa perlu menyakiti
insan yang tak pernah ambil peduli
setiap tindak tandukmu
menerima satu-persatu pujian
mahupun pengiktirafan

mengapa perlu disakiti
sekeping hati yang ikhlas
dalam perjuangannya

mengapa aku disakiti
mungkin kerana dosaku sendiri
atau proses penyucian rohani
semurni semerbak mawar pagi
mengembangkan aroma ke pelosok alam
yang rosak oleh kata-kata nista sebusuk kumbang

kembalilah wahai diri
mencongak, menghitung tasbih
memuji kebesaranNya
kerana terpilih menerima ujian
maha jadam ini!

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching.
06 Mei 2008

Puisi - Di Angkasa Sastera


Puisi : Di Angkasa Sastera
Karya : Armiza Nila

Di Angkasa Sastera

Akulah musafir lalu
yang tak pernah lelah
menyapa angin kering di padang gersang
akur menongkah debu yang bertempiaran
mengejar datang dan pergi semahunya.

Kuteguk air dari matakali di padang tandus
setitik nikmatnya membasahkan
dasar hati yang kontang.

Terasing di negeri sendiri
akulah maslina penyair
dirobek pendiriannya
yang tak pernah tewas
biar giat ditumbangkan oleh senjata
psikologi bernama sastera
para pendukung para pejuang
yang mengaku menyatakan tulus
cintanya pada bahasa bangsaku.

Aduhai aspal yang kupilih ini
terbentang periuk api
yang tersembunyi di busung dada
binatang yang mengakui insan
bergerak megah dengan kereta kebal
menangkis serangan skizofrenia
yang cuba merasuk aqli
pemikir yang angkuh menyusung ijazah.

Aku maslina yang terang-terang
mengaku penulis
dari kelas marhaen
yang lahir dari bakat
anugerah Yang Maha Kaya
aku maslina dipilih antara antah
pemikir yang menjulang PHD
melontarkan kebijaksanaan
tanpa pengalaman nurani.

Bersyukur aku seorang maslina
masih waras tatkala tubuh gebunya
dipanah petir yang berupa iblis
dikirim menguji imannya.

Sastera itu suci
tetapi dilacurkan lelaki-lelaki
jalang yang mengaku perkasa
mencurahkan kebahagiaan
ke dada perempuan-perempuan
kunang-kunang yang berlegar
di balik tabir jingga tatkala
matari terbenam di gigi asin laut
Pantai Mukah yang panjang.

Aduhai bangsaku yang mengaku
cintakan bahasa
menegakkan kebenaran adalah
sepahit jadam yang akhirnya
menjadi penawar paling mujarab.

Terasing di bumi sendiri
akulah maslina pengembara
yang berjalan untuk satu tujuan
menyiarkan sirah menyatukan ummah
menggilap cermin yang berdebu
oleh tompokan dengki dan khianat
yang cuba mengusung keranda hidup
di kalangan bangsanya sendiri.

Malu aku seorang maslina
menonton opera China
yang dilakondodoikan bangsa Melayu-ku
pecah kerongkongnya menjaja
meneriakkan angkasa sastera!

*sebuah sajak panjang di Pantai Mukah*

Armiza Nila
Politeknik Mukah
29 Jun 2008
9.35 pagi

Thursday 9 July 2009

Tuhan - permudahkan segala urusan

Sesungguhnya kesakitan
yang Kau lemparkan
perinya tanggungan badan
mata memandang berat
bahu memikul lebih.

permudahkan segala urusan
ya Tuhan
ayat-ayat Siti Maryam
"Hanna waladat Maryama wa Maryamu waladat 'Isa, ukhruj aiyuhal maulud"
doa hamba yang menzalimi dirinya
"Laillahaillaanta subhanakainni kuntu minadzholimin"
selawat ke atas Nabi S.A.W
"Allahummassalli'ala Muhammad wa'alaalihi wasohbihi wassalam"
ayatul Kursi
betapa besar keagunganMu
menjadi Pengasih
menjadi Pengubat
rindu syahdu hamba
yang serba meminta.

Surah An-Nahl (Perihal Lebah)
begitu mengesankan
terjemahannya menginsaf
setiap insan yang mahu mentafsir
dengan matahati
mengharap ihsan Mu.

doa-doa para sahabat
jujur tulus ikhlas
melegakan
bertarung nyawa kami
demi zuriat
tanpa endah tergadai diri
menyambung sirah
menambah umat
untuk agama kami.

ya Tuhan
permudahkan segala urusan
memohon tunduk kasihMu
sempurnakan kemampuan insan.

Armiza Nila
Semariang Batu
12 Julai 2009