Wednesday, 2 March 2011

Thursday, 20 January 2011

Puisi - Anakku, jadilah orang besar yang rendah hati

Anakku
ingat pesan ibu
jadilah orang besar
yang rendah hati
biar besar pangkat darjat
masih kenal diri
berpijak di bumi

Anakku
jangan jadi macam ibu
kuli yang makan gaji
dipijak-pijak seikut hati
atasan-bawahan
ambil kesempatan
atas kesabaran yang ditunjuki

Anakku
ilmu itu penyuluh diri
belajarlah dari kelemahan ibu
yang tidak pernah menyalahkan takdir
malah menjadi iktibar kejayaanmu nanti

Anakku
kau bakal merubah kehidupan kita
jadilah orang besar
yang kaya dan murni hati
bukan sombong dan berhasad dengki
kerana harta pangkat dan darjat
adalah pinjaman semata
bukan hak mutlak kita.

Armiza Nila
Semariang Batu
21 Januari 2011

Monday, 18 October 2010

Lapang

siang dan malam
bergilir
datang dan pergi
24 jam diberi waktu
tapi
mengapa susah mencari lapang

letih perih
rintih payah
menongkah arus kehidupan
yang tak pernah mengisyaratkan pulang

kita lupa
waktu
meninggalkan jejak-jejak
tanpa sedar
kita ditipu
dalam kepayahan
menangkap lapang
datang ke ruang dada

lapang
datanglah
carilah
di ceruk-ceruk kesibukan.

Armiza Nila
Semariang Batu
18 Oktober 2010

Sunday, 17 October 2010

Syukur

Kupanjatkan syukur
atas anugerahNya
kerana memperkenankan doa
seorang ibu
tak putus-putus
siang dan malam
untuk kejayaan anakanda.

Thursday, 26 August 2010

Percakapan Sia-sia

Sia-sia meluah segala kesat
ke dada sang pencinta kedamaian

segala kebaikan tak pernah dirujuk
hujung pangkal
saling menyalahi
tak ingin mengakui kesilapan diri

asyik mengungkit kisah silam
yang begitu membingitkan
percakapan sia-sia
mencalar luka lama

usah lagi bertengkar
kerana kuserah segala
pada Yang Maha Adil
mengadili setiap kasih sayang
dan pengorbanan
dari suci hati setiap insan.

Maslina Mahbu
Hari Nuzul Al-Quran
17 Ramadhan 1431H

Saturday, 10 July 2010

Siapa bisa melawan takdirNya

tatkala ia datang menerpa
satu demi satu
diduga hamba hina dina
yang menumpang di sudut dunia
pelbagai pancaroba diterjah jua
siapa bisa melawan takdirNya

kemewahan
kenikmatan
keindahan
keenakan
tertipu lagi kita untuk kesekian kali
oh fatamorgana!

kesusahan
kepayahan
kesukaran
keperitan
tidak pernah
para utusan datang berpesan
siapa bisa melawan takdirNya

susah dan senang
adalah sama
itulah hakikat kehidupan
meskipun berbeda perasaan.

Armiza Nila
10 Julai 2010
Semariang Batu

Saturday, 15 May 2010

Puisi : Guru

Puisi : Guru, sekecil mana pun tugasmu

Guru

Sekecil mana pun tugasmu

waima sekadar mengajar di surau

atau di pondok

atau pesantren

atau di rumah

kau tetap bergelar guru

Tak pernah kau lelah

mengajar

mendidik

membimbing

anak bangsa

tanpa mengira usia

Tugasmu

tak semudah namamu

guru

kau digelar

Cikgu – Ustaz – Ustazah

walau kekadang kau tak punya tauliah

kau curah ilmu yang ada

tanpa pernah fikirkan imbuhan

biar itu kerja Tuhan

Guru

kau sentiasa belajar

dengan guru lain

waima seorang ustaz dari seberang

kita tak pernah pilih bulu

asalkan ilmu yang disampaikan

sesuai dengan As-Sunnah Wal-Jama’ah

Ilmu Al-Quran itu

bukan sembarangan ilmu

yang harus dikaji

digali

dihafali

dipraktiskan

lalu disampaikan

Orang yang mahu belajar adalah orang hidup

Orang yang tidak mahu belajar umpama orang mati

Tanpa mengira usia

selalu guru berpesan

belajarlah hingga hembusan nafas terakhir

Guru

kau mengajar

kau belajar

kau mendidik

kau terdidik

mengongsi ilmu di dada

Agar tak hilang ia.

Armiza Nila

Kuching

16 Mei 2010