Monday 30 March 2009

Kecamuk Jiwa








tekanan demi kecaman

bertunda-tunda

menembus dada

laksana peluru syaitan

yang tak kenal mangsa.



O dadaku sesak

menahan nafas sendat

cercaan yang tiada pangkal

tiada penghujung

apatah jauh dari kebenaran.



menyimpang ia dari realiti

selamatkan sekujur diri

tak pernah ia pandang sipi

pada marhaen

yang terkapai-kapai

dilambung ombak hidup.



jiwa yang kecamuk

oleh duga

oleh uji

syaitan yang bersarung insan

bertahanlah

dengan keimanan

bertafakurlah

dengan keinsafan.



akan ada pembalasan setimpal

meragut seluruh

kepunyaan

kerana

orang yang dizalimi

terangkat doa

di langit ke tujuh.



pasti

penghinaan

akan menyarung

sepanjang hayat

para penzalim.



Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

31 Mac 2009

Thursday 26 March 2009

Satu demi satu






ia datang sembunyi
tak pernah kau peduli
selama ini.

nafsu kau letak paling atas
menjamu selera
yang tak henti
yang tak mengerti.

sambil enak kau nikmati
ia membunuh
tanpa kau sedari.

satu demi satu
ia serang
saraf tunjang
salur darah
diserap
sedikit demi sedikit
ia ragut
kesempurnaanmu.

tika ini
kau membisu
tunduk malu
pada diri
pada silap
pada langkah.

semua jadi semu
sebelah mata pun kau tak mau
memandang
apatah menjamu.

satu demi satu
disentak halus
semua keinginanmu.

Armiza Nila
Hospital Umum Sarawak
27 Mac 2009

Tuesday 24 March 2009

Upah






aku hirup sari madu

menyusup ke ulu hati

upah

dari jerih perih

sepurnama setia

tetap waktu.



tak pernah terlewat

walau sesaat

tunai janji

beratur si penunggu

rela demi sesuap rezeki.



O buruh si perkasa

kau terima upah

sesempurna

titik peluhmu

kau curah

peroleh nikmat

setimbal usaha

atau sebaliknya.



jangan bermain

di balik tabir

berselindung di celah topeng

menyarung jubah hipokrit

mengisi tembolok sendiri.



anugerah kekasih

usah kau persia

digadai pajak hidup kita

sekali mahu

diambil-Nya

tanpa ampun

tiada sedar kita.



Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

25.03.2009

Monday 23 March 2009

Musyawarah Burung

ketika burung-burung segala
bermusyawarah
di depani si hud-hud
saling tingkah meningkah
saling beralasan
menzahirkan kesombongan
meniatkan kelemahan
dalam pencarian Raja Simugh.

cela segala
dinampak ia
elak langkah-langkah seterus
berjumpa Sang Pencinta
sang maha sempurna.

begitulah
si alpa yang lalai
menyarung jubah khalifah
tak mampu ia laksana
pikul beban di pundak.

janji-janji belaka palsu
meski niat bersatu
dek nafsu meraja
'tuk kesekian kali
ke bumi tersembam muka.

O si kerdil mengaku
kamil
sudah-sudahlah mencongak
tak seberapa ibadah
tak berharga amalan
harap balasan.

musyawarah burung-burung
iktibar dipakai
dalam pakaian batin
berandai usah
yakin dan sungguh
capai satu tujuan
menuju ke
negeri abadi.

Armiza Nila
Gubuk Kasih - Semariang Batu
24 Mac 2008

Sunday 22 March 2009

Jaringan Janji






Jaringan Janji

(dedikasi kepada Nisah Haron)



tak pernah kita

menyimpul janji

pada pertemuan ini.



seperti ketetapan-Nya

idaman kalbu

di depan mata menjelma ia.



bahasa lontaran telus

tepat dan padat

tulus dari ujung hati

tertambat sepasang mata

dari ulas bibir yang

menguntum senyum.



kerendahan bicara

hilang gugup di dada

menatap sepasang jiwa bara

penuh inti di minda.



jaringan janji

moga terus begini

menerawang di maya pada

bersatu di dunia nyata.



antara niat dan cita-cita

mesra cantuman

demi satu bahasa

kucupan bonda

berbaur bangga rasa

mengecapi walau

sekelumit bahagia.



Armiza Nila

21 Mac 2009

Atmosfera Cafe, Kuching

Friday 20 March 2009

Rezeki di mana


telah ditetapkan
dalam luh mahfuz
rezeki di mana
di langit bersemayam ia
di lautan tenggelam
di daratan bertaburan
di pergunungan bergumpalan.

O ... si tamak haloba
kau kaut semua
tak bisa jadi milik
sempurna!

geleng kepala usah
rusuh hati jangan
bahagian mu dijanji ada.

masa merentas
sedar mu di bawah
tatkala asyik kau
mencongak khazanah
tinggal semata.

rezeki di mana
hak mutlak bukan!

Armiza Nila
20.03.09

Thursday 19 March 2009

Beban




O ... insan si alpa

tak engkau sedar

keluh mu

galas beban.


dunia mencampak

sekujur tubuh

sedaya menanggung

usah lelah luluh

fikir; hati merana.


simpulkan segala

untung rugi

nikmat bersama.


beruntunglah engkau

menyimpan perih

bakal dibawa

wangi-wangi sorga

menunggu mu setia.


Armiza Nila

20.03.09

Dhuha



siapa rangkul mu

kecap ia ria.


sang kerdil

bila entah;

pun sesekali

mencapai mu cuba.


tersungkur ia

olah arus dunia.


O Dhuha...

waktu

seemas harga.


pemiliknya

kaya raya.


Armiza Nila

20.03.09

Kandung



aku kandung ia

kecil

besar

sebermula.


perit subuh

manis bahari

senyum meleret

berbunga cinta.


akulah hamba

paling bahagia!


Armiza Nila

20.03.09

Syukran



ya Rabbi!

syukran.


lepas hamba

beban ini

tegang segala

tenang semula.


tandang uji

buta hati hampir

celik minda sedia.


janji duga Mu

sedaya aku.


Armiza Nila

MyVi QAM6022

19.03.09

Puisi Jiwa Armiza Nila

Sebuah puisi Armiza Nila


tak ingin aku

lari ia

dari relung jiwa

telah bersemadi

bersenyawa

diikat tegap

kejap diminda.


tak kubenarkan

terbang ia

membawa diri.


O puisi...

nyawa hamba

kembalilah

ke rangkulan

hamba!


Armiza Nila

19.03.2009

Jalan Sultan Tengah