Wednesday 16 December 2009

Ekonomik Puisi


Semalam
aku menulis puisi panjang
lalu ditegur seorang teman
sapaannya manja
puisi panjang bukan mudah dihadam
dan bukan tidak sesuai
tapi
cuba ekonomikkan
bait-bait puisimu
ringkas - padat - tepat.

namun
itulah aku
lahirnya sebuah puisi
setelah menghamili
tidak sampai dua tiga minit
lima saat pun bisa
yang namanya spontan
siapakah yang mahu
menenggelamkan
pertunjuk dari Illahi
datang sendiri
menziarahi minda
yang terpesona oleh
kemabukan anggur
kemanisan madu
kenikmatan delima
kesedapan zaitun
kelazatan kurma
yang asalnya
buah dari sorga.

saranan dia
ku kira bermakna
untuk kupelajari
ilmu melamar puisi
teruna
untuk
kuajak naik di atas pelaminku
yang indah belaka.

armiza nila
jalan sultan tengah
30 Zulhijjah 1430H

Wednesday 2 December 2009

Dengan Baju Kasih Sayang


Puisi : Dengan Baju Kasih Sayang

Karya : Maslina Mahbu

Kita telah diazalikan

dalam jodoh dan pertemuan ini

dengan hati yang damai

dengan jiwa yang tenteram

dengan tusukan rindu dendam

akhirnya termeterai tali percintaan

terbentuk silaturrahim

aqad ditaklikkan

sah diijabkabulkan

dan kita pun melayari bahtera bersama

diketuai nakhoda

yang cekap menunda

bersama anak-anak kapal yang setia.

Dengan baju kasih sayang

kita jahit segala kesakitan

kita tampal segala kekoyakan

kita tanggalkan segala kebobrokan

sungguh

kelembutanmu wahai bidadari malam

bisa menundukkan keegoan

yang tiada tolok bandingan

akhirnya dalam pelukan

dalam lindungan

dalam peliharaan.

Dengan baju kasih sayang

kau serahkan seluruh

jiwaraga

harta mahupun nyawa

itulah maknanya pengorbanan

dalam menyambung zuriat.

Dengan baju kasih sayang

kau hidangi mahkota cinta

bagi menguatkan keimanan

menuju ketaqwaan

tenang damai tenteram

sebelum kembali ke sebermula.

Ke daerah lain

duhai teman

marilah kita berdamai

usah lagi bersengketa

kerana kita bukan penghuni kekal

yang sempurna segala -

anak, keluarga dan harta

adalah pinjaman semata

yang bakal dikembalikan

kepada Yang Empunya.

Untuk kesejahteraan

gunalah persalinan

baju kasih sayang

tak perlu dibersihkan dengan wangian

lembutkanlah dengan bicara

senang hati mendengar

sedap jiwa menanggung

segala realiti kehidupan.

Kerana Allah sentiasa mengabulkan

doa-doa orang yang teraniaya.

Bersyukurlah

dengan kenikmatan

biarpun seketika cuma

tapi punya makna

sungguh

kasih sayang

anak-anak

suami-isteri

keluarga

teman-teman sekerja

lebih bernilai

dari harta mahupun dunia

yang telah menipu kita.

Jalan Sultan Tengah

3 Disember 2009

Tuesday 1 December 2009

Korban


jika mereka berkorban
lembu
sapi
kambing
unta.

aku berkorban
apa saja
waima
harta
mahupun
nyawa.

untuk anak-anak tercinta
keringatku yang tumpah
semata-mata sejahtera
baju kasihsayang yang direnda
kemas, mulus, cantik, tulus, telus
keindahan biar tertampak
bersama ukiran manis di bibir anakanda.

korban - nilainya tiada bandingan
maknanya luas bagai lautan
keinginannya sebesar langit lazuardi
yang mengasyikkan.

pengorbanan
perolehan yang tidak menjanjikan nilai saham
sesegera
tapi
nikmatnya hanya disantapi
rohani yang suci
bersih dari sifat-sifat bakhil
dan menzakatkan hartanya
kerana segala pemberian-Nya
bukan hak mutlak kita
hamba hina dina
miskin papa kedana
di dunia fatamorgana.


Armiza Nila
Selamat Hari Raya Korban 1430 H
Jalan Sultan Tengah
2 Dis 2009

Monday 17 August 2009

Kejujuran kesalahan kemaafan

apa lagi diminta
selain kejujuran
namun
setiap kali kejujuran diperkatakan
kesalahan pun ditimbulkan

mampukah memaafkan kesalahan
yang nyata menyakiti
nurani yang menagihi kejujuran

memberi kemaafan
bukan perkara enteng
jika niat tidak suci
usah diharap datangnya sendiri

kerap kali kesalahan dilaku
tiap kali kemaafan dihadiahi

bersih jiwa
kerana hati pun lega
lesap segala dendam
melayang kesumat
lari bertempiaran benci

kemaafan
kesucian.

Sebuah puisi Armiza Nila
Semariang Batu
18 Ogos 2009

Sunday 19 July 2009

Puisi - Mengapa Perlu Menyakiti


Puisi : Mengapa perlu menyakiti

Setelah mencipta nama demi nama
mengapa perlu menyakiti

sejak bergelar sesiapa
mengapa perlu menyakiti

sejak aku memilih jalan ini
jalan yang kau tidak ingini
mengapa perlu menyakiti

kerana perjalananku tidak pernah menyusahkanmu
keasyikanku tidak pernah menggugat ketinggianmu

aku tahu kau mulia di mata tuan
kesilapanmu dianggap kecil
berbanding keampuanmu yang besar
barangkali kau tidak sedar
kelekaanmu yang menyongsang

mengapa perlu menyakiti
insan yang tak pernah ambil peduli
setiap tindak tandukmu
menerima satu-persatu pujian
mahupun pengiktirafan

mengapa perlu disakiti
sekeping hati yang ikhlas
dalam perjuangannya

mengapa aku disakiti
mungkin kerana dosaku sendiri
atau proses penyucian rohani
semurni semerbak mawar pagi
mengembangkan aroma ke pelosok alam
yang rosak oleh kata-kata nista sebusuk kumbang

kembalilah wahai diri
mencongak, menghitung tasbih
memuji kebesaranNya
kerana terpilih menerima ujian
maha jadam ini!

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching.
06 Mei 2008

Puisi - Di Angkasa Sastera


Puisi : Di Angkasa Sastera
Karya : Armiza Nila

Di Angkasa Sastera

Akulah musafir lalu
yang tak pernah lelah
menyapa angin kering di padang gersang
akur menongkah debu yang bertempiaran
mengejar datang dan pergi semahunya.

Kuteguk air dari matakali di padang tandus
setitik nikmatnya membasahkan
dasar hati yang kontang.

Terasing di negeri sendiri
akulah maslina penyair
dirobek pendiriannya
yang tak pernah tewas
biar giat ditumbangkan oleh senjata
psikologi bernama sastera
para pendukung para pejuang
yang mengaku menyatakan tulus
cintanya pada bahasa bangsaku.

Aduhai aspal yang kupilih ini
terbentang periuk api
yang tersembunyi di busung dada
binatang yang mengakui insan
bergerak megah dengan kereta kebal
menangkis serangan skizofrenia
yang cuba merasuk aqli
pemikir yang angkuh menyusung ijazah.

Aku maslina yang terang-terang
mengaku penulis
dari kelas marhaen
yang lahir dari bakat
anugerah Yang Maha Kaya
aku maslina dipilih antara antah
pemikir yang menjulang PHD
melontarkan kebijaksanaan
tanpa pengalaman nurani.

Bersyukur aku seorang maslina
masih waras tatkala tubuh gebunya
dipanah petir yang berupa iblis
dikirim menguji imannya.

Sastera itu suci
tetapi dilacurkan lelaki-lelaki
jalang yang mengaku perkasa
mencurahkan kebahagiaan
ke dada perempuan-perempuan
kunang-kunang yang berlegar
di balik tabir jingga tatkala
matari terbenam di gigi asin laut
Pantai Mukah yang panjang.

Aduhai bangsaku yang mengaku
cintakan bahasa
menegakkan kebenaran adalah
sepahit jadam yang akhirnya
menjadi penawar paling mujarab.

Terasing di bumi sendiri
akulah maslina pengembara
yang berjalan untuk satu tujuan
menyiarkan sirah menyatukan ummah
menggilap cermin yang berdebu
oleh tompokan dengki dan khianat
yang cuba mengusung keranda hidup
di kalangan bangsanya sendiri.

Malu aku seorang maslina
menonton opera China
yang dilakondodoikan bangsa Melayu-ku
pecah kerongkongnya menjaja
meneriakkan angkasa sastera!

*sebuah sajak panjang di Pantai Mukah*

Armiza Nila
Politeknik Mukah
29 Jun 2008
9.35 pagi

Thursday 9 July 2009

Tuhan - permudahkan segala urusan

Sesungguhnya kesakitan
yang Kau lemparkan
perinya tanggungan badan
mata memandang berat
bahu memikul lebih.

permudahkan segala urusan
ya Tuhan
ayat-ayat Siti Maryam
"Hanna waladat Maryama wa Maryamu waladat 'Isa, ukhruj aiyuhal maulud"
doa hamba yang menzalimi dirinya
"Laillahaillaanta subhanakainni kuntu minadzholimin"
selawat ke atas Nabi S.A.W
"Allahummassalli'ala Muhammad wa'alaalihi wasohbihi wassalam"
ayatul Kursi
betapa besar keagunganMu
menjadi Pengasih
menjadi Pengubat
rindu syahdu hamba
yang serba meminta.

Surah An-Nahl (Perihal Lebah)
begitu mengesankan
terjemahannya menginsaf
setiap insan yang mahu mentafsir
dengan matahati
mengharap ihsan Mu.

doa-doa para sahabat
jujur tulus ikhlas
melegakan
bertarung nyawa kami
demi zuriat
tanpa endah tergadai diri
menyambung sirah
menambah umat
untuk agama kami.

ya Tuhan
permudahkan segala urusan
memohon tunduk kasihMu
sempurnakan kemampuan insan.

Armiza Nila
Semariang Batu
12 Julai 2009

Tuesday 23 June 2009

Puisi - "Di sebalik wajah ayah"




Puisi : Di sebalik wajah ayah
Karya : Maslina Mahbu


Wajahnya kian kusam
dimamah usia yang menuju renta
urat-urat tangan timbul
tapaknya kasar
setelah lebih enam puluh tahun menghirup udara dunia
membanting tulang tanpa keluh kesah.

Ayah
di sebalik wajah tidak pernah menyerah
pada hidup yang menghimpit
di lautan di daratan diredah
demi sesuap nasi
menyambung setiap jiwa anak-anaknya.

Kasihnya ayah
jarang ia pamerkan
tulus menanggung amanah
galas di bahunya penuh dedikasi.

Semakin ia menuju senja
mudah terusik hati ayah
oleh kata-kata kasar anak-anak
yang mementingkan keselesaan diri
dari memikirkan kewajaran dan ketuaan ayah
namun ayah tetap berdiam
wajahnya tunduk
sendu di hatinya siapa yang tahu.

Oh ayah!
ampuni anakmu
yang terlanjur diri.
Selagi nadimu masih berdenyut
selagi itulah kami berbakti
melihat senyuman yang terukir indah
terpancar di pelupuk halus matamu
satu anugerah buat kami.

Betapa besar perhatian kami
besar lagi pengorbananmu ayah
kasihmu masa berada
kasihmu juga jika tiada
redhamu
adalah keberkatan hidup kami
anak-anakmu.


Jalan Sultan Tengah, 24 Jun 2009

Wednesday 13 May 2009

Sorga Dunia


Ibu


jiwaraga seluruh

diserah sekujur tubuh

kehendak anak dibutuh

tak pernah sekali mengeluh.


ibu...

kau layak

dijadi sorga dunia

terasa aman dalam pelukan

sejuk hati dari ulas butir bicara

memujuk anakanda dengan manja.


oh...sorga dunia

tak sanggup 'tuk berpisah

dari tangkai nyawa.


- puisi khas hari ibu -


Armiza Nila

14 Mei 2009

Semariang Batu

Wednesday 8 April 2009

Ulangtahun Mahar



6 tahun sudah
berlalu ia
mengharum cinta
membenih kasih
membubut rindu dendam
lahirnya khalifah.

kekadang tak pernah
peduli kita
tahun ke tahun
ia anjak usia
setelah garam asam
dicecah manis pahit
rapi bergaul
warnanya ceriakan
mahligai.


mahar yang kau berikan
ringgit malaysia satu ratus dua puluh
nilainya tiada tara
untuk sebuah cinta
dan janji setia
yang kita genggam bersama.


ulangtahun mahar :
ketika sibuk
tak terperikan
lupa usah
pada ikatan yang terjalin
manis ranumnya
biarlah mekar
selagi hayat dikandung badan.


segunung harta
tentu belum
cukup dibandingkan
dengan hanya satu kebahagiaan.


Armiza Nila
Semariang Batu
09 April 2009

Monday 6 April 2009

Permata Yang Menyinar




permata
yang menyinar
di depan mata
bersimpuh duduk
mengerti belum ia
makna kehidupan
kedewasaan
yang melingkungi bonda.
kasih sayang
perhatian
sewajar
bonda curahkan coba
demi kelangsungan
kematangan
permata yang kian menyinar.
mendidikmu
bonda dengan airmata
terusik nurani
olah tingkahmu
yang menduga
tak pernah kecewa
menatang bagai minyak
yang penuh.
ini bonda
tabah : tawakal
muhasabah : koreksi diri
bukan mudah
menuju sempurna
tapi
biarlah seadanya.
kerana kau
permata
sinarmu
bekal bahagia.
Armiza Nila
Semariang Batu
070409

Monday 30 March 2009

Kecamuk Jiwa








tekanan demi kecaman

bertunda-tunda

menembus dada

laksana peluru syaitan

yang tak kenal mangsa.



O dadaku sesak

menahan nafas sendat

cercaan yang tiada pangkal

tiada penghujung

apatah jauh dari kebenaran.



menyimpang ia dari realiti

selamatkan sekujur diri

tak pernah ia pandang sipi

pada marhaen

yang terkapai-kapai

dilambung ombak hidup.



jiwa yang kecamuk

oleh duga

oleh uji

syaitan yang bersarung insan

bertahanlah

dengan keimanan

bertafakurlah

dengan keinsafan.



akan ada pembalasan setimpal

meragut seluruh

kepunyaan

kerana

orang yang dizalimi

terangkat doa

di langit ke tujuh.



pasti

penghinaan

akan menyarung

sepanjang hayat

para penzalim.



Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

31 Mac 2009

Thursday 26 March 2009

Satu demi satu






ia datang sembunyi
tak pernah kau peduli
selama ini.

nafsu kau letak paling atas
menjamu selera
yang tak henti
yang tak mengerti.

sambil enak kau nikmati
ia membunuh
tanpa kau sedari.

satu demi satu
ia serang
saraf tunjang
salur darah
diserap
sedikit demi sedikit
ia ragut
kesempurnaanmu.

tika ini
kau membisu
tunduk malu
pada diri
pada silap
pada langkah.

semua jadi semu
sebelah mata pun kau tak mau
memandang
apatah menjamu.

satu demi satu
disentak halus
semua keinginanmu.

Armiza Nila
Hospital Umum Sarawak
27 Mac 2009

Tuesday 24 March 2009

Upah






aku hirup sari madu

menyusup ke ulu hati

upah

dari jerih perih

sepurnama setia

tetap waktu.



tak pernah terlewat

walau sesaat

tunai janji

beratur si penunggu

rela demi sesuap rezeki.



O buruh si perkasa

kau terima upah

sesempurna

titik peluhmu

kau curah

peroleh nikmat

setimbal usaha

atau sebaliknya.



jangan bermain

di balik tabir

berselindung di celah topeng

menyarung jubah hipokrit

mengisi tembolok sendiri.



anugerah kekasih

usah kau persia

digadai pajak hidup kita

sekali mahu

diambil-Nya

tanpa ampun

tiada sedar kita.



Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

25.03.2009

Monday 23 March 2009

Musyawarah Burung

ketika burung-burung segala
bermusyawarah
di depani si hud-hud
saling tingkah meningkah
saling beralasan
menzahirkan kesombongan
meniatkan kelemahan
dalam pencarian Raja Simugh.

cela segala
dinampak ia
elak langkah-langkah seterus
berjumpa Sang Pencinta
sang maha sempurna.

begitulah
si alpa yang lalai
menyarung jubah khalifah
tak mampu ia laksana
pikul beban di pundak.

janji-janji belaka palsu
meski niat bersatu
dek nafsu meraja
'tuk kesekian kali
ke bumi tersembam muka.

O si kerdil mengaku
kamil
sudah-sudahlah mencongak
tak seberapa ibadah
tak berharga amalan
harap balasan.

musyawarah burung-burung
iktibar dipakai
dalam pakaian batin
berandai usah
yakin dan sungguh
capai satu tujuan
menuju ke
negeri abadi.

Armiza Nila
Gubuk Kasih - Semariang Batu
24 Mac 2008

Sunday 22 March 2009

Jaringan Janji






Jaringan Janji

(dedikasi kepada Nisah Haron)



tak pernah kita

menyimpul janji

pada pertemuan ini.



seperti ketetapan-Nya

idaman kalbu

di depan mata menjelma ia.



bahasa lontaran telus

tepat dan padat

tulus dari ujung hati

tertambat sepasang mata

dari ulas bibir yang

menguntum senyum.



kerendahan bicara

hilang gugup di dada

menatap sepasang jiwa bara

penuh inti di minda.



jaringan janji

moga terus begini

menerawang di maya pada

bersatu di dunia nyata.



antara niat dan cita-cita

mesra cantuman

demi satu bahasa

kucupan bonda

berbaur bangga rasa

mengecapi walau

sekelumit bahagia.



Armiza Nila

21 Mac 2009

Atmosfera Cafe, Kuching

Friday 20 March 2009

Rezeki di mana


telah ditetapkan
dalam luh mahfuz
rezeki di mana
di langit bersemayam ia
di lautan tenggelam
di daratan bertaburan
di pergunungan bergumpalan.

O ... si tamak haloba
kau kaut semua
tak bisa jadi milik
sempurna!

geleng kepala usah
rusuh hati jangan
bahagian mu dijanji ada.

masa merentas
sedar mu di bawah
tatkala asyik kau
mencongak khazanah
tinggal semata.

rezeki di mana
hak mutlak bukan!

Armiza Nila
20.03.09

Thursday 19 March 2009

Beban




O ... insan si alpa

tak engkau sedar

keluh mu

galas beban.


dunia mencampak

sekujur tubuh

sedaya menanggung

usah lelah luluh

fikir; hati merana.


simpulkan segala

untung rugi

nikmat bersama.


beruntunglah engkau

menyimpan perih

bakal dibawa

wangi-wangi sorga

menunggu mu setia.


Armiza Nila

20.03.09

Dhuha



siapa rangkul mu

kecap ia ria.


sang kerdil

bila entah;

pun sesekali

mencapai mu cuba.


tersungkur ia

olah arus dunia.


O Dhuha...

waktu

seemas harga.


pemiliknya

kaya raya.


Armiza Nila

20.03.09

Kandung



aku kandung ia

kecil

besar

sebermula.


perit subuh

manis bahari

senyum meleret

berbunga cinta.


akulah hamba

paling bahagia!


Armiza Nila

20.03.09

Syukran



ya Rabbi!

syukran.


lepas hamba

beban ini

tegang segala

tenang semula.


tandang uji

buta hati hampir

celik minda sedia.


janji duga Mu

sedaya aku.


Armiza Nila

MyVi QAM6022

19.03.09

Puisi Jiwa Armiza Nila

Sebuah puisi Armiza Nila


tak ingin aku

lari ia

dari relung jiwa

telah bersemadi

bersenyawa

diikat tegap

kejap diminda.


tak kubenarkan

terbang ia

membawa diri.


O puisi...

nyawa hamba

kembalilah

ke rangkulan

hamba!


Armiza Nila

19.03.2009

Jalan Sultan Tengah