Wednesday 16 December 2009
Ekonomik Puisi
Semalam
aku menulis puisi panjang
lalu ditegur seorang teman
sapaannya manja
puisi panjang bukan mudah dihadam
dan bukan tidak sesuai
tapi
cuba ekonomikkan
bait-bait puisimu
ringkas - padat - tepat.
namun
itulah aku
lahirnya sebuah puisi
setelah menghamili
tidak sampai dua tiga minit
lima saat pun bisa
yang namanya spontan
siapakah yang mahu
menenggelamkan
pertunjuk dari Illahi
datang sendiri
menziarahi minda
yang terpesona oleh
kemabukan anggur
kemanisan madu
kenikmatan delima
kesedapan zaitun
kelazatan kurma
yang asalnya
buah dari sorga.
saranan dia
ku kira bermakna
untuk kupelajari
ilmu melamar puisi
teruna
untuk
kuajak naik di atas pelaminku
yang indah belaka.
armiza nila
jalan sultan tengah
30 Zulhijjah 1430H
Wednesday 2 December 2009
Dengan Baju Kasih Sayang
Puisi : Dengan Baju Kasih Sayang
Karya : Maslina Mahbu
Kita telah diazalikan
dalam jodoh dan pertemuan ini
dengan hati yang damai
dengan jiwa yang tenteram
dengan tusukan rindu dendam
akhirnya termeterai tali percintaan
terbentuk silaturrahim
aqad ditaklikkan
sah diijabkabulkan
dan kita pun melayari bahtera bersama
diketuai nakhoda
yang cekap menunda
bersama anak-anak kapal yang setia.
Dengan baju kasih sayang
kita jahit segala kesakitan
kita tampal segala kekoyakan
kita tanggalkan segala kebobrokan
sungguh
kelembutanmu wahai bidadari malam
bisa menundukkan keegoan
yang tiada tolok bandingan
akhirnya dalam pelukan
dalam lindungan
dalam peliharaan.
Dengan baju kasih sayang
kau serahkan seluruh
jiwaraga
harta mahupun nyawa
itulah maknanya pengorbanan
dalam menyambung zuriat.
Dengan baju kasih sayang
kau hidangi mahkota cinta
bagi menguatkan keimanan
menuju ketaqwaan
tenang damai tenteram
sebelum kembali ke sebermula.
Ke daerah lain
duhai teman
marilah kita berdamai
usah lagi bersengketa
kerana kita bukan penghuni kekal
yang sempurna segala -
anak, keluarga dan harta
adalah pinjaman semata
yang bakal dikembalikan
kepada Yang Empunya.
Untuk kesejahteraan
gunalah persalinan
baju kasih sayang
tak perlu dibersihkan dengan wangian
lembutkanlah dengan bicara
senang hati mendengar
sedap jiwa menanggung
segala realiti kehidupan.
Kerana Allah sentiasa mengabulkan
doa-doa orang yang teraniaya.
Bersyukurlah
dengan kenikmatan
biarpun seketika cuma
tapi punya makna
sungguh
kasih sayang
anak-anak
suami-isteri
keluarga
teman-teman sekerja
lebih bernilai
dari harta mahupun dunia
yang telah menipu kita.
Jalan Sultan Tengah
3 Disember 2009
Tuesday 1 December 2009
Korban
jika mereka berkorban
lembu
sapi
kambing
unta.
aku berkorban
apa saja
waima
harta
mahupun
nyawa.
untuk anak-anak tercinta
keringatku yang tumpah
semata-mata sejahtera
baju kasihsayang yang direnda
kemas, mulus, cantik, tulus, telus
keindahan biar tertampak
bersama ukiran manis di bibir anakanda.
korban - nilainya tiada bandingan
maknanya luas bagai lautan
keinginannya sebesar langit lazuardi
yang mengasyikkan.
pengorbanan
perolehan yang tidak menjanjikan nilai saham
sesegera
tapi
nikmatnya hanya disantapi
rohani yang suci
bersih dari sifat-sifat bakhil
dan menzakatkan hartanya
kerana segala pemberian-Nya
bukan hak mutlak kita
hamba hina dina
miskin papa kedana
di dunia fatamorgana.
Armiza Nila
Selamat Hari Raya Korban 1430 H
Jalan Sultan Tengah
2 Dis 2009