Wednesday, 2 December 2009

Dengan Baju Kasih Sayang


Puisi : Dengan Baju Kasih Sayang

Karya : Maslina Mahbu

Kita telah diazalikan

dalam jodoh dan pertemuan ini

dengan hati yang damai

dengan jiwa yang tenteram

dengan tusukan rindu dendam

akhirnya termeterai tali percintaan

terbentuk silaturrahim

aqad ditaklikkan

sah diijabkabulkan

dan kita pun melayari bahtera bersama

diketuai nakhoda

yang cekap menunda

bersama anak-anak kapal yang setia.

Dengan baju kasih sayang

kita jahit segala kesakitan

kita tampal segala kekoyakan

kita tanggalkan segala kebobrokan

sungguh

kelembutanmu wahai bidadari malam

bisa menundukkan keegoan

yang tiada tolok bandingan

akhirnya dalam pelukan

dalam lindungan

dalam peliharaan.

Dengan baju kasih sayang

kau serahkan seluruh

jiwaraga

harta mahupun nyawa

itulah maknanya pengorbanan

dalam menyambung zuriat.

Dengan baju kasih sayang

kau hidangi mahkota cinta

bagi menguatkan keimanan

menuju ketaqwaan

tenang damai tenteram

sebelum kembali ke sebermula.

Ke daerah lain

duhai teman

marilah kita berdamai

usah lagi bersengketa

kerana kita bukan penghuni kekal

yang sempurna segala -

anak, keluarga dan harta

adalah pinjaman semata

yang bakal dikembalikan

kepada Yang Empunya.

Untuk kesejahteraan

gunalah persalinan

baju kasih sayang

tak perlu dibersihkan dengan wangian

lembutkanlah dengan bicara

senang hati mendengar

sedap jiwa menanggung

segala realiti kehidupan.

Kerana Allah sentiasa mengabulkan

doa-doa orang yang teraniaya.

Bersyukurlah

dengan kenikmatan

biarpun seketika cuma

tapi punya makna

sungguh

kasih sayang

anak-anak

suami-isteri

keluarga

teman-teman sekerja

lebih bernilai

dari harta mahupun dunia

yang telah menipu kita.

Jalan Sultan Tengah

3 Disember 2009

No comments:

Post a Comment