Thursday, 18 March 2010
Tak pernah ia tinggalkan pesan
Hari ini pada pukul 1.04 pagi
Tak pernah ia tinggalkan pesan
datang tetiba mengasak dada
hampir tak bernyawa
melayah iman
melawan derita
kasih ibu maha mulia
urutan manja penuh makna
tenangkan resah anakanda
menahan gulana
Tuhan masih sayang
anda berhak terima ujian
diberi kesempatan menikmat kesihatan
diberi cobaan dengan kesakitan
tak pernah ia tinggalkan pesan
ia ibarat petanda
usia semakin menuju senja
tak pernah ia tinggalkan pesan
tak dipilih saiz - usia - amalan
ia isyarat awal
sebelum kau dijemput pulang.
Semariang Batu
19 Mac 2010
Thursday, 14 January 2010
Mahabbah Cinta
Mahabbah
Cinta pada ciptaanNya
sejuk nurani tatkala
deria dengar
ditusuk ayat-ayat
mukjzat Muhammad s.a.w
benar-benar sukma
dipanah mahabbah
cinta yang takkan padam.
Mahabbah
yang diam yang qiam
dalam darah
dalam daging
dalam hati
bisa hancur
segala dendam kesumat
tunduk patuh
segala angkuh
tersembam sombong
tersungkur hasad dengki
sirna irihati
kembali runduk
ruh
menyuci sekujur jasad.
Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah
06 Januari 2010



memelihara tamsil pandang
di ujana kalbu yang sentiasa juga
menemukan indah nafs-mutmainnah
turun memahkotai damai... Paparan Lanjut
mengiring perisai iman
dalam khusyuk yakin
suburmu yang mengabadi lebur
memanjatkan rasa syukur
yang tak pernah siap
menyatakan harap.
['Nur' dalam Sinar Sirna, 2006]
















Terima kasih
Terima kasih
hanya itu ucapan
yang datang dari serelung nurani suci
atas pertolongan
dengan perlindungan
atas pemberian
dengan ma'unah
atas peliharaan
dan kemudahan
yang bersumber dariNya.
terima kasih
bair berpurnama cuma
kami menghirup sejuk kasihmu
mencicip dingin air tanganmu
mengalir dalam pembuluh darah
menjadi isi dan daging
mohon bersih puncanya
untuk keberkatan kami
demi keredhaan Illahi.
terima kasih
kami titipkan
buat keletihan
dan keluhan
tampak dari raut wajahmu
kerana berbakti kepada kami.
terima kasih
sesama hamba
terima kasih
syukran
ya Tuhan!
kerana cobaan
adalah kejadian
sebelum kami
menjadi baik
sebaik hambaMu
sebalik makhlukMu
yang hidup menumpang
sebelum pulang
ke negeri abadi.
sebuah puisi Armiza Nila
30 Dis 2009
Semariang Batu - Tugu Panahan Cinta







Bahasa Apa Lagi Duhai Lelaki
duhai lelaki
yang kau ingini
dari seorang wanita
yang menerimamu seadanya.
terlintaskah di fikiranmu
saat keperihan seorang isteri
dan ibu kepada zuriatmu
menanggung beban
yang tak pernah disungutinya.
tak pernah ia minta
segunung emas permata
mahligai indah bak Taj Mahal
untuk dihadiahi dalam inginnya.
ia minta
kasih sayang
ia mohon kelembutan
bukan kekasaran
bahasa tubuh
maupun gerak fizikal
kerana
tak mampu ia menghalang
kegagahan yang kau pamerkan.
bahasa apa lagi
duhai lelaki
memuas seratus peratus
kehendakmu.
sudah-sudahlah
sebelum
doa-doa termakbul
terangkat ke langit ke tujuh
dan ketika engkau sedar
tak bisa lagi manis mulut bicara.
dengarlah duhai lelaki
dengarlah dengan matahati
fikirlah dengan waras
taklik yang telah engkau akadkan
tatkala engkau ingin memiliki.
Armiza Nila
14.01.2010
Jalan Sultan Tengah










Wednesday, 16 December 2009
Ekonomik Puisi

Semalam
aku menulis puisi panjang
lalu ditegur seorang teman
sapaannya manja
puisi panjang bukan mudah dihadam
dan bukan tidak sesuai
tapi
cuba ekonomikkan
bait-bait puisimu
ringkas - padat - tepat.
namun
itulah aku
lahirnya sebuah puisi
setelah menghamili
tidak sampai dua tiga minit
lima saat pun bisa
yang namanya spontan
siapakah yang mahu
menenggelamkan
pertunjuk dari Illahi
datang sendiri
menziarahi minda
yang terpesona oleh
kemabukan anggur
kemanisan madu
kenikmatan delima
kesedapan zaitun
kelazatan kurma
yang asalnya
buah dari sorga.
saranan dia
ku kira bermakna
untuk kupelajari
ilmu melamar puisi
teruna
untuk
kuajak naik di atas pelaminku
yang indah belaka.
armiza nila
jalan sultan tengah
30 Zulhijjah 1430H
Wednesday, 2 December 2009
Dengan Baju Kasih Sayang
Puisi : Dengan Baju Kasih Sayang
Karya : Maslina Mahbu
Kita telah diazalikan
dalam jodoh dan pertemuan ini
dengan hati yang damai
dengan jiwa yang tenteram
dengan tusukan rindu dendam
akhirnya termeterai tali percintaan
terbentuk silaturrahim
aqad ditaklikkan
sah diijabkabulkan
dan kita pun melayari bahtera bersama
diketuai nakhoda
yang cekap menunda
bersama anak-anak kapal yang setia.
Dengan baju kasih sayang
kita jahit segala kesakitan
kita tampal segala kekoyakan
kita tanggalkan segala kebobrokan
sungguh
kelembutanmu wahai bidadari malam
bisa menundukkan keegoan
yang tiada tolok bandingan
akhirnya dalam pelukan
dalam lindungan
dalam peliharaan.
Dengan baju kasih sayang
kau serahkan seluruh
jiwaraga
harta mahupun nyawa
itulah maknanya pengorbanan
dalam menyambung zuriat.
Dengan baju kasih sayang
kau hidangi mahkota cinta
bagi menguatkan keimanan
menuju ketaqwaan
tenang damai tenteram
sebelum kembali ke sebermula.
Ke daerah lain
duhai teman
marilah kita berdamai
usah lagi bersengketa
kerana kita bukan penghuni kekal
yang sempurna segala -
anak, keluarga dan harta
adalah pinjaman semata
yang bakal dikembalikan
kepada Yang Empunya.
Untuk kesejahteraan
gunalah persalinan
baju kasih sayang
tak perlu dibersihkan dengan wangian
lembutkanlah dengan bicara
senang hati mendengar
sedap jiwa menanggung
segala realiti kehidupan.
Kerana Allah sentiasa mengabulkan
doa-doa orang yang teraniaya.
Bersyukurlah
dengan kenikmatan
biarpun seketika cuma
tapi punya makna
sungguh
kasih sayang
anak-anak
suami-isteri
keluarga
teman-teman sekerja
lebih bernilai
dari harta mahupun dunia
yang telah menipu kita.
Jalan Sultan Tengah
3 Disember 2009
Tuesday, 1 December 2009
Korban

jika mereka berkorban
lembu
sapi
kambing
unta.
aku berkorban
apa saja
waima
harta
mahupun
nyawa.
untuk anak-anak tercinta
keringatku yang tumpah
semata-mata sejahtera
baju kasihsayang yang direnda
kemas, mulus, cantik, tulus, telus
keindahan biar tertampak
bersama ukiran manis di bibir anakanda.
korban - nilainya tiada bandingan
maknanya luas bagai lautan
keinginannya sebesar langit lazuardi
yang mengasyikkan.
pengorbanan
perolehan yang tidak menjanjikan nilai saham
sesegera
tapi
nikmatnya hanya disantapi
rohani yang suci
bersih dari sifat-sifat bakhil
dan menzakatkan hartanya
kerana segala pemberian-Nya
bukan hak mutlak kita
hamba hina dina
miskin papa kedana
di dunia fatamorgana.
Armiza Nila
Selamat Hari Raya Korban 1430 H
Jalan Sultan Tengah
2 Dis 2009






