Semalam aku menulis puisi panjang lalu ditegur seorang teman sapaannya manja puisi panjang bukan mudah dihadam dan bukan tidak sesuai tapi cuba ekonomikkan bait-bait puisimu ringkas - padat - tepat.
namun itulah aku lahirnya sebuah puisi setelah menghamili tidak sampai dua tiga minit lima saat pun bisa yang namanya spontan siapakah yang mahu menenggelamkan pertunjuk dari Illahi datang sendiri menziarahi minda yang terpesona oleh kemabukan anggur kemanisan madu kenikmatan delima kesedapan zaitun kelazatan kurma yang asalnya buah dari sorga.
saranan dia ku kira bermakna untuk kupelajari ilmu melamar puisi teruna untuk kuajak naik di atas pelaminku yang indah belaka.
armiza nila jalan sultan tengah 30 Zulhijjah 1430H
untuk anak-anak tercinta keringatku yang tumpah semata-mata sejahtera baju kasihsayang yang direnda kemas, mulus, cantik, tulus, telus keindahan biar tertampak bersama ukiran manis di bibir anakanda.
korban - nilainya tiada bandingan maknanya luas bagai lautan keinginannya sebesar langit lazuardi yang mengasyikkan.
pengorbanan perolehan yang tidak menjanjikan nilai saham sesegera tapi nikmatnya hanya disantapi rohani yang suci bersih dari sifat-sifat bakhil dan menzakatkan hartanya kerana segala pemberian-Nya bukan hak mutlak kita hamba hina dina miskin papa kedana di dunia fatamorgana.
Armiza Nila Selamat Hari Raya Korban 1430 H Jalan Sultan Tengah 2 Dis 2009
Setelah mencipta nama demi nama mengapa perlu menyakiti
sejak bergelar sesiapa mengapa perlu menyakiti
sejak aku memilih jalan ini jalan yang kau tidak ingini mengapa perlu menyakiti
kerana perjalananku tidak pernah menyusahkanmu keasyikanku tidak pernah menggugat ketinggianmu
aku tahu kau mulia di mata tuan kesilapanmu dianggap kecil berbanding keampuanmu yang besar barangkali kau tidak sedar kelekaanmu yang menyongsang
mengapa perlu menyakiti insan yang tak pernah ambil peduli setiap tindak tandukmu menerima satu-persatu pujian mahupun pengiktirafan
mengapa perlu disakiti sekeping hati yang ikhlas dalam perjuangannya
mengapa aku disakiti mungkin kerana dosaku sendiri atau proses penyucian rohani semurni semerbak mawar pagi mengembangkan aroma ke pelosok alam yang rosak oleh kata-kata nista sebusuk kumbang
kembalilah wahai diri mencongak, menghitung tasbih memuji kebesaranNya kerana terpilih menerima ujian maha jadam ini!
Maslina Mahbu @ Armiza Nila Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching. 06 Mei 2008
Akulah musafir lalu yang tak pernah lelah menyapa angin kering di padang gersang akur menongkah debu yang bertempiaran mengejar datang dan pergi semahunya.
Kuteguk air dari matakali di padang tandus setitik nikmatnya membasahkan dasar hati yang kontang.
Terasing di negeri sendiri akulah maslina penyair dirobek pendiriannya yang tak pernah tewas biar giat ditumbangkan oleh senjata psikologi bernama sastera para pendukung para pejuang yang mengaku menyatakan tulus cintanya pada bahasa bangsaku.
Aduhai aspal yang kupilih ini terbentang periuk api yang tersembunyi di busung dada binatang yang mengakui insan bergerak megah dengan kereta kebal menangkis serangan skizofrenia yang cuba merasuk aqli pemikir yang angkuh menyusung ijazah.
Aku maslina yang terang-terang mengaku penulis dari kelas marhaen yang lahir dari bakat anugerah Yang Maha Kaya aku maslina dipilih antara antah pemikir yang menjulang PHD melontarkan kebijaksanaan tanpa pengalaman nurani.
Bersyukur aku seorang maslina masih waras tatkala tubuh gebunya dipanah petir yang berupa iblis dikirim menguji imannya.
Sastera itu suci tetapi dilacurkan lelaki-lelaki jalang yang mengaku perkasa mencurahkan kebahagiaan ke dada perempuan-perempuan kunang-kunang yang berlegar di balik tabir jingga tatkala matari terbenam di gigi asin laut Pantai Mukah yang panjang.
Aduhai bangsaku yang mengaku cintakan bahasa menegakkan kebenaran adalah sepahit jadam yang akhirnya menjadi penawar paling mujarab.
Terasing di bumi sendiri akulah maslina pengembara yang berjalan untuk satu tujuan menyiarkan sirah menyatukan ummah menggilap cermin yang berdebu oleh tompokan dengki dan khianat yang cuba mengusung keranda hidup di kalangan bangsanya sendiri.
Malu aku seorang maslina menonton opera China yang dilakondodoikan bangsa Melayu-ku pecah kerongkongnya menjaja meneriakkan angkasa sastera!
*sebuah sajak panjang di Pantai Mukah*
Armiza Nila Politeknik Mukah 29 Jun 2008 9.35 pagi
Sesungguhnya kesakitan yang Kau lemparkan perinya tanggungan badan mata memandang berat bahu memikul lebih.
permudahkan segala urusan ya Tuhan ayat-ayat Siti Maryam "Hanna waladat Maryama wa Maryamu waladat 'Isa, ukhruj aiyuhal maulud" doa hamba yang menzalimi dirinya "Laillahaillaanta subhanakainni kuntu minadzholimin" selawat ke atas Nabi S.A.W "Allahummassalli'ala Muhammad wa'alaalihi wasohbihi wassalam" ayatul Kursi betapa besar keagunganMu menjadi Pengasih menjadi Pengubat rindu syahdu hamba yang serba meminta.
Surah An-Nahl (Perihal Lebah) begitu mengesankan terjemahannya menginsaf setiap insan yang mahu mentafsir dengan matahati mengharap ihsan Mu.
doa-doa para sahabat jujur tulus ikhlas melegakan bertarung nyawa kami demi zuriat tanpa endah tergadai diri menyambung sirah menambah umat untuk agama kami.
ya Tuhan permudahkan segala urusan memohon tunduk kasihMu sempurnakan kemampuan insan.
Puisi : Di sebalik wajah ayah Karya : Maslina Mahbu
Wajahnya kian kusam dimamah usia yang menuju renta urat-urat tangan timbul tapaknya kasar setelah lebih enam puluh tahun menghirup udara dunia membanting tulang tanpa keluh kesah.
Ayah di sebalik wajah tidak pernah menyerah pada hidup yang menghimpit di lautan di daratan diredah demi sesuap nasi menyambung setiap jiwa anak-anaknya.
Kasihnya ayah jarang ia pamerkan tulus menanggung amanah galas di bahunya penuh dedikasi.
Semakin ia menuju senja mudah terusik hati ayah oleh kata-kata kasar anak-anak yang mementingkan keselesaan diri dari memikirkan kewajaran dan ketuaan ayah namun ayah tetap berdiam wajahnya tunduk sendu di hatinya siapa yang tahu.
Oh ayah! ampuni anakmu yang terlanjur diri. Selagi nadimu masih berdenyut selagi itulah kami berbakti melihat senyuman yang terukir indah terpancar di pelupuk halus matamu satu anugerah buat kami.
Betapa besar perhatian kami besar lagi pengorbananmu ayah kasihmu masa berada kasihmu juga jika tiada redhamu adalah keberkatan hidup kami anak-anakmu.
ketika burung-burung segala bermusyawarah di depani si hud-hud saling tingkah meningkah saling beralasan menzahirkan kesombongan meniatkan kelemahan dalam pencarian Raja Simugh.
cela segala dinampak ia elak langkah-langkah seterus berjumpa Sang Pencinta sang maha sempurna.
begitulah si alpa yang lalai menyarung jubah khalifah tak mampu ia laksana pikul beban di pundak.
janji-janji belaka palsu meski niat bersatu dek nafsu meraja 'tuk kesekian kali ke bumi tersembam muka.
O si kerdil mengaku kamil sudah-sudahlah mencongak tak seberapa ibadah tak berharga amalan harap balasan.
musyawarah burung-burung iktibar dipakai dalam pakaian batin berandai usah yakin dan sungguh capai satu tujuan menuju ke negeri abadi.
Armiza Nila Gubuk Kasih - Semariang Batu 24 Mac 2008
sudah sekian lama ia paut diri dalam cahaya dari lorong gelap suasana
rehat panjang sudah tiada mesra cukup seadanya
masa berlari sepantas kilat di langit mencuri detik-detik hangat asmara
kini redha jadi intim erat paut dalam segumpal hati berbentuk cinta
aku tak tertipu lagi oleh dunia fatamorgana
paut pada dahan lekap di jiwa ini!
Armizanila - poliku 19 Jan 06
Puisi Benchmark 1 - "Bahasa Kepada Lelaki"
Bahasa kepada Lelaki
suntikkan sapa dalam bahasamu masukkan lembut dalam suaramu masakkan sopan dalam gerakmu cernakan hormat dalam tingkahmu - bahasa kepada lelaki - gerutunya menjentik naluri sang hawa yang perlu dimanisi lenggok gemalai bahasamu lelaki melebur lahar dada sang pertapa bertuahnya kau dianugerahi permintaanmu dituruti kau tidak lagi sunyi getarmu ada penenang kini
sang hawa bukannya hamba abdi kau tengking sesuka hati ia harus dihalusi segenap bongkak tersembam di bumi kau kuasai diri olah bahasamu yang kasturi setanggi benakmu kenanga sari mewangi taman larangan ini manis tebu di bibir meresap ke dasar nubari merentap kasar lubuk derhaka menjadi semurni sungai yang mengalir dari air terjun gunung serapi bangga menepuk dada kerna bahasamu lelaki indah selubungku! Armiza Nila POLIKU, 14 Jun 2005
Puisi adalah suara hatiku. Ia laksana separuh jiwaku. Segala keresahan yang mengelilingi cakerawalaku kubentuk menjadi puisi. Mudah-mudahan ada yang menggugah dan bisa saling mengingatkan. Hidup ini terlalu singkat untuk diperitkan. Berbahagialah nubari meski penderitaan bertapak dan bersarang sendiri. Ingatlah, "Langit takkan selalu cerah, sesekali hujan turun membasahi bumi-mu mencuci jelaga hati dan sukma".
Sekarang bergelumang dalam genre cerpen dan menyusul novel wanita Melayu Sarawak sejak 2008.
HAK CIPTA TERPELIHARA
MASLINA BINTI MAHBU
@
ARMIZA NILA
COPY RIGHT 2006
KUCHING, SARAWAK